LEKIR – Pusat Pertanian Lekir boleh dibangunkan sebagai pusat agro pelancongan bernilai tinggi di Perak melalui pelbagai perancangan dan inisiatif yang sudah dilaksanakan dan sedang dilaksanakan.

Pengarah Pertanian negeri, Noor Azmi Yahya berkata, terbaru lokasi itu dipilih lokasi program Gerak Tani Nasional (GTN) Pusat Tanaman Bank buah-buahan.

Menurutnya, pelbagai pokok buah termasuklah rambutan, durian belanda, mangga, manggis, nangka, cempedak, ciku, jambu batu dan limau bali akan ditanam di kawasan seluas 30 hektar.

“Ini juga satu pengiktirafan kepada pihak pertanian bagi menjaga baka-baka pokok klon dan seterusnya mendaftarkan nama-nama pokok ini bagi tujuan kajian dan penyelidikan.

“Bagi peringkat pertama melibatkan keluasan 6 hektar dahulu dan ia melibatkan tiga fasa kesemuanya,” katanya ketika majlis perasmian program Gerak Tani Nasional (GTN) Lekir Peringkat Negeri Perak di Pusat Pertanian Lekir, Batu 7 Lekir baru-baru ini.

Majlis pelancaran itu telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pertanian Operasi Jabatan Pertanian, Abdul Daut dan turut dihadiri Timbalan Pengarah Pertanian Pengembangan, Perundingan Pelaburan dan Industri Asas Tani negeri Perak, Mohd Zulkifli Yaacob.

Noor Azmi berkata, kawasan itu boleh dijadikan sebagai lokasi agro pelancongan kerana mempunyai pelbagai jenis pokok buahan.

“Di sini juga terletak Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) melibatkan tanaman pokok mangga Chokanan selain beberapa tanaman lain.

“Kita harap ia dapat dikembangkan lagi dan menjadikan tempat ini sebagai lokasi tumpuan awam di daerah Manjung,” katanya.

Pusat Bank tanaman adalah berfungsi untuk mengumpulkan pokok-pokok baka klon yang telah didaftarkan sebagai tujuan memastikan pokok berkenaan tidak pupus begitu sahaja dan boleh dijadikan rujukan serta kajian – sinar