KUALA LUMPUR : Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PPBM membatalkan persidangan cawangan di Bahagian Kuala Terengganu dan Teluk Intan, selepas menerima bantahan ahlinya.

Pengerusi JPP, Syed Hamid Albar berkata, Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM memberi masa 15 Feb hingga 29 Mac ini untuk cawangan di 2 bahagian itu mengadakan persidangan semula.

“Persidangan cawangan-cawangan ini hendaklah dikawal selia JPP Pusat dengan kerjasama JPP Negeri. Jawatankuasa ini mendapati sebahagian besar masalah ditimbulkan berkaitan dengan kegagalan untuk mengikut peraturan persidangan, seperti ditetapkan oleh parti.

“Justeru, ahli-ahli diingatkan mereka tidak dibenarkan membuat sebarang kenyataan terbuka mengenai persidangan kerana keputusan muktamad hanya boleh dibuat JPP Pusat.

“Kenyataan tidak melalui saluran parti dikhuatiri akan menimbulkan kekeliruan dan konflik sesama sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Syed Hamid berkata, seramai 363,173 ahli yang berdaftar, layak menghadiri persidangan di 2,950 cawangan dalam 189 bahagian, sepanjang tempoh ditetapkan MPT sebelum ini.

Katanya, sejajar arahan itu, 538 cawangan di 37 bahagian di seluruh negara sudah mengadakan persidangan.

“Keputusan pemilihan di persidangan ini tertakluk kepada penelitian dan pengesahan JPP. Ahli yang tidak berpuas hati dengan perjalanan persidangan boleh membuat bantahan secara bertulis kepada JPP dengan menyertakan aduan secara jelas, termasuk bukti.”

Beliau berkata, bantahan itu hendaklah disampaikan kepada JPP tidak lebih 7 hari selepas persidangan diadakan.