LUMUT, 25 April (Bernama)— Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menampilkan pesara tentera sebagai calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pangkor pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pengumuman itu dibuat pada satu majlis yang turut dihadiri Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu.

Bekas pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Komander (B) Nordin Ahmad Ismail, 52, itu akan menghadapi pertandingan empat penjuru iaitu dengan calon Barisan Nasional (BN) Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, calon PAS Zainal Abidin Saad dan calon Bebas Leman Kanaulla.

Pada PRU13, Zambry menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohd Saifullah Mohd Zulkifli serta calon Bebas J. Bernard Parenpa dengan memperoleh majoriti 5,124 undi.