TAPAH– Wakil Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tanjung Malim semalam membuat dua laporan polis berhubung kenyataan berbaur hasutan oleh Wan Muhammad Azri Wan Deris atau dikenali dengan panggilan Papagomo dan Sir Azri.

Ahli Jawatankuasa PPBM Tanjung Malim, Azirul Syafiq Sazali berkata Papagomo dengan sengaja mewujudkan sentimen perkauman bagi mewujudkan perbalahan di antara kaum Melayu dan Cina di Malaysia.

“Berdasarkan video klip itu, beliau (Papagomo) mempertikaikan kerajaan DAP serta mengkritik bangsa Melayu dengan menggunakan perkataan Melayu bodoh.

“Papagomo juga menuduh DAP menolak agama Islam dan bangsa Melayu serta menghasut rakyat bahawa parti itu dikatakan menolak Islam sebagai agama rasmi,” katanya kepada pemberita.

Azirul berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media khas di sini, pada Rabu.

Jelasnya, video yang tular sejak tiga hari itu dimuatnaik oleh Papagomo, di mana secara terang-terangan menghasut rakyat Malaysia khususnya Melayu, membenci kaum Cina.

Turut menjadi pertikaian adalah tuduhan yang dilemparkan kepada Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr. Mahathir yang disifatkan keterlaluan dan biadap.

“Laporan polis ini sebagai salah satu langkah agar pihak yang bertanggungjawab boleh membuat siasatan dan seterusnya mengambil tindakan sewajarnya kepada beliau.

“Rakyat Malaysia perlu beri ruang kepada kerajaan baru yang dibentuk dan tidak terus mengeruhkan keadaan dengan memuat naik kenyataan tidak baik terhadap kerajaan,” ujarnya.