BAGAN SERAI – Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak dicadang mengambil alih perlaksanaan projek ternakan udang seluas 161.87 hektar di tanah milik syarikat Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perak (PKENP) di Kelompang, Selinsing yang berpotensi meraih keuntungan.

Ketua Umno bahagian Bagan Serai, Datuk Sham Mat Sahat berkata, cadangan itu dikemukakan susulan projek asal diusahakan sebuah firma ternakan udang, Hannan Corporation Sdn Bhd yang mendapat pembiayaan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi Negara (NKEA) dikenal pasti gagal.

Menurutnya, susulan kegagalan projek itu, NCIA bertindak memulangkan semula dua kawasan ladang ternakan udang tersebut, masing-masing dikenali sebagai Kompleks Akuakultur Selinsing (KAS) dan Kompleks Akuakultur Pulau Gula (KAPG), kembali kepada PKENP di bawah kerajaan negeri.

“Susulan itu, saya terfikir mengapa tidak PPN Perak berbincang dengan PKENP untuk memberi peluang kepada dua Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Parlimen Bagan Serai melaksanakan projek ternakan udang di kawasan tanah itu?

“Saya yakin dengan bantuan kepakaran pengusaha ternakan udang tempatan, dua PPK mampu menjalankan usahasama dengan PPN Perak untuk menjayakan perlaksanakan projek ternakan udang di lokasi sama,” katanya pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bagan Serai/Beriah, kelmarin.

Majlis dirasmikan Pengerusi Peladang Negeri (PPN) Perak, Datuk Nadzri Ismail turut dihadiri Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dan Pengerusi PPK Bagan Serai/Beriah, Mohd Rashid Salim.

Sham berkata, pihaknya bersedia bertindak sebagai orang tengah bagi mempertemukan pihak PPN Perak dengan PKENP, sekali gus membincangkan kemungkinan perlaksanaan projek perusahaan ternakan udang di kawasan projek tinggalan NCIA itu.

Menurutnya, projek ternakan kolam udang sememangnya berpotensi mendapat keuntungan besar, bahkan PKENP difahamkan ada melaksanakan satu projek seumpama itu di Bagan Seberang, Kuala Kurau.

“Berdasarkan keadaan itu, saya yakin kemampuan dan kepakaran pengusaha tempatan sudah mencukupi untuk menjayakan kembali projek ternakan udang yang gagal sebelum ini.

“Paling penting projek itu mesti dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh dan kesemua pihak terlibat mesti memberikan komitmen tinggi,” katanya.

Sham berkata, pada peringkat permulaan, pihaknya akan membantu PPK Bagan Serai/Beriah dan PPK Gunung Semanggol/Selinsing bagi menyediakan kertas kerja berkaitan projek itu -SINAR

BERITA BERKENAANZahid Tak Kisah Siapa Lawan Di Bagan Datuk