BAGAN SERAI, 8 JAN – Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak akan melibatkan diri dalam pengeluaran benih padi sah dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

Ia bagi menampung masalah kekurangan benih padi sah yang dihadapi pesawah setiap kali musim menanam.

Pengerusi PPN Perak, Datuk Sham Mat Sahat berkata, pihaknya akan berbincang dengan pihak Bernas untuk mengguna pakai kilang beras Simpang Lima di Parit Buntar untuk pusat proses benih padi.

“Pesawah seringkali menghadapi masalah mendapatkan benih padi apabila tiba musim untuk mengerjakan sawah padi.

“Kadang-kadang mereka dapat benih tetapi benih padi yang tidak sah dan Itu yang menyebabkan hasil padi jatuh menjunam begitu teruk.

“Jadi kita akan ambil alih tanggungjawab ini melalui PPN dan juga PPK, kita akan pastikan loji ini diadakan di daerah Kerian ini dan juga kita pastikan semua pesawah-pesawah dapat benih padi yang bermutu tinggi,” katanya.

Beliau ditemui selepas melancarkan baja organik asli di Kampung Parit Jawa, di sini, hari ini.

Menurut Sham, pihaknya juga mencadangkan agar serangan bena perang dimasukkan ke dalam kategori bencana bagi membantu pesawah yang terkesan

Dalam pada itu, katanya, PPN Perak juga akan memulakan beberapa projek pertanian dan penternakan baharu bagi meningkatkan lagi keselamatan agro makanan negara.

Antara projek baharu itu ialah tanaman ubi kayu, ternakam ayam dengan sistem reban tertutup dan projek ternakan lembu.