IPOH: Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak mencatat sejarah tersendiri apabila dianugerahkan lima bintang audit pengurusan baru-baru ini.

Pengerusinya, Datuk Nadzri Ismail berkata, anugerah itu diterima daripada Bahagian Audit Pengurusan, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Kuala Lumpur yang melakukan audit setiap lima tahun.

Menurut beliau, penganugerahan itu sekaligus meletakkan PPN Perak kedua terbaik di seluruh negara.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pegawai dan kakitangan PPN Perak supaya meningkatkan usaha untuk menjadi yang terbaik.

“Pertubuhan mesti baiki lagi pencapaian, selaras dengan matlamat penubuhannya untuk meningkatkan ekonomi orang Melayu,” katanya kepada Suara Perak selepas majlis makan malam PPN Perak di sini pada Jumaat malam.

Sempena majlis itu, Nadzri turut menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2016 kepada 15 kakitangan di samping anugerah jasamu dikenang dan anugerah khas.