Oleh: Shafiq Noordin

IPOH: Kumpulan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) menjadi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terbaharu di negeri ini melaksanakan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Majlis melafaz dan menandatangani IBR tersebut diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif PPPNP, Datuk Ahmad Rizal Abdul Rahman dan disaksikan oleh Pengarah SPRM Perak, Datuk Nooraziah Abdul Manaf.

Ahmad Rizal berkata, ikrar berkenaan merupakan manifestasi kesungguhan PPPNP dalam memastikan perbadanan tersebut bebas dari segala gejala jenayah rasuah.

Katanya, ia sekaligus menunjukkan sokongan PPPNP terhadap komitmen berterusan kerajaan negeri untuk menjadikan negara bebas daripada belenggu jenayah rasuah.

“Ini merupakan antara salah satu daripada pelbagai inisiatif yang kita ambil dalam memastikan tiada langsung unsur rasuah wujud di dalam PPPNP ini.

“Antara insiatif lain yang dilakukan PPPNP sebelum ini termasuk memberi bonus kepada kakitangan pada setiap tahun, memberi bantuan persekolahan dan sebagainya,” katanya.

Ahmad Rizal berkata demikian ketika berucap pada majlis lafaz ikrar tersebut pada Isnin.

Sementara itu, Nooraziah memuji kesungguhan Ahmad Rizal selaku majikan dan ketua dalam memastikan perbadanan itu bebas rasuah, malah beliau turut mengesa GLC lain di negeri ini mencontohi PPPNP.

“Usaha-usaha yang dilakukan ini seharusnya dicontohi GLC lain kerana integriti merupakan sesuatu yang mustahak, mereka (PPPNP) ambil inisiatif sendiri dan bukan hanya sekadar bercakap.

“Walaupun PPPNP bukan GLC pertama yang mengangkat ikrar ini namun inisiatif sendiri yang diambil mereka amat wajar dipuji,” ujar beliau.