KOTA BHARU: Premis pengumpulan barangan lusuh dengan keluasan 0.4 hektar musnah dalam kebakaran di Pasir Tumboh, di sini petang semalam.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian jam 4 petang itu.

Ketua Zon Kota Bharu Penguasa Bomba Kanan II, SyobirinAbd Kadir, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 4.01 petang.

Katanya, seramai 25 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Tumboh, Darulnaim, Tunjung dan Pengkalan Chepa dikejarkan ke lokasi, selain dibantu 21 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS).

“Ketika kami sampai, api sedang marak membakar pelbagai barangan lusuh membabitkan besi dan plastik terpakai. Kebakaran dapat dikawal dalam masa lebih kurang dua jam,” katanya ketika dihubungi NSTP di sini.

Beliau berkata, dalam kejadian itu pihaknya berjaya menyelamatkan enam rumah berhampiran daripada terbakar.

“Pasukan bomba juga dibantu dengan penggunaan jengkaut kepunyaan pemilik premis untuk memadam kebakaran. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya – berita harian