Oleh: Fakhirul Akhbar

IPOH, 23 DIS: Premis perniagaan di bandar raya ini telah kembali beroperasi seperti biasa mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan membuat pemantauan berterusan bagi memastikan para peniaga mematuhi SOP ketika beroperasi.


“Setakat ini, semua premis perniagaan telah kembali beroperasi seperti sedia kala mengikut SOP yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“MBI akan terus melakukan pemantauan terhadap premis-premis perniagaan dan pasar-pasar malam sehingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berakhir,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Sijil dan Plak Pemenang Pertandingan Pengiktirafan Tandas Awam Bersih peringkat Kebangsaan tahun 2019 di Dewan Azlan Shah di sini, hari ini.

Pada majlis tersebut, Rumaizi telah menyampaikan sijil dan plak kepada Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Perempuan, Datin Rogayah Shukor dan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Meru, Norhisham Abd Shukor yang menduduki tempat ketiga Pertandingan Pengiktirafan Tandas Awam Bersih Peringkat Kebangsaan Tahun 2019 bagi kategori Sekolah Rendah dan Menengah.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai kotmitmen MBI dalam menjaga kebersihan tandas awam di Ipoh, Rumaizi berkata, pihak majlis merancang untuk menaik taraf tahap kebersihan tandas awam di bandar raya ini.

“Secara umumnya, MBI mempunyai peruntukan khas bagi menaik taraf kebersihan tandas awam di Ipoh.


“Ini merupakan sebahagian daripada pelan tiga tahun MBI dalam mencapai matlamat menjadikan Ipoh sebagai bandar terbersih Malaysia pada tahun 2023,” ujarnya.