IPOH: Kerajaan negeri mewajibkan penggunaan aplikasi MySejahtera di semua premis perniagaan di seluruh Perak berkuat kuasa serta-merta. 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pelancongan negeri Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata langkah itu penting bagi memudahkan proses pengesanan kontak sekiranya terdapat kes-kes positif wabak COVID-19. 

“Bagi kami juga, aplikasi ini mempunyai data sekuriti yang lebih baik kerana ia dikendalikan oleh pihak kerajaan sendiri. Jadi, rakyat terutamanya tidak perlu berasa takut kerana semua maklumat peribadi mereka dilindungi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan kunci kiosk kepada peserta e-Kasih di Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini, hari ini. 

Pada Isnin lepas, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menegaskan kerajaan akan mewartakan penggunaan aplikasi MySejahtera di setiap premis di seluruh negara melalui Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Selain itu, Nolee Ashilin berkata pihaknya juga akan bekerjasama dengan semua 15 pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk melakukan pemeriksaan secara menyeluruh di semua premis perniagaan bagi memastikan aplikasi berkenaan diguna pakai. 

“Kita mahu setiap pengusaha premis ambil maklum tentang perkara ini dan tiada alasan lagi untuk mereka tidak menggunakannya. Kita juga minta supaya mereka paparkan kod QR di hadapan premis masing-masing,” katanya. 

Mengulas mengenai program hari ini, Nolee Ashilin berkata MBI telah mewujudkan sebanyak 40 kiosk di lapan lokasi terpilih di bawah Projek Kiosk e-Kasih bertujuan membantu golongan B20 dan B40 untuk menjana pendapatan. 

Katanya, antara lokasi kiosk berkenaan ialah di Taman Perpaduan, Chemor, Taman Rishah, Buntong, Rapat Setia, Ampang, Pengkalan dan Pekan Razak. 

“Semua peserta yang mendapat kiosk ini telah disaring dan ditemu duga oleh pihak MBI. Kita harap kiosk ini dapat memberikan suntikan semangat dan dorongan kepada masyarakat yang kurang berkemampuan untuk terus memajukan diri ke hadapan,” katanya.  – BERNAMA