IPOH – Sebuah rumah kedai di Jalan Gopeng, Kampar diserbu pihak berkuasa selepas dikesan wujud aktiviti penyelewengan barangan kawalan bersubsidi iaitu tepung gandum, gula dan minyak masak, semalam.

Premis yang menjalankan kegiatan sejak enam bulan itu didapati menyimpan barangan kawalan bersubsidi dalam kuantiti yang mencurigakan.

Timbalan Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak, Ahmad Ahrazzuddin Ahmad.

Hamdan berkata, hasil pemerhatian dijalankan, pemilik premis itu menjadikan rumah kedai terbabit sebagai stor simpanan sebelum diedar dan dijual kepada pelanggan sekitar Gopeng dan Kampar.

“Tindakan diambil dengan menyita 2.1kg gula dan 1.9kg tepung gandum, nilai rampasan keseluruhan barangan dianggarkan RM10,795.

“Meskipun pemilik premis mempunyai lesen barang kawalan (runcit) yang sah, namun ia hanya dibenarkan menyimpan barangan tidak melebihi 500kg bagi setiap barangan,” katanya.

Menurutnya, siasatan ke atas pemilik premis akan dilakukan mengikut Peraturan 10 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

“Menyimpan barang kawalan melebihi had dibenarkan dalam lesen sedia ada adalah menjadi kesalahan, ia menggambarkan sikap sambil lewa dan mementingkan keuntungan semata,” katanya.
Beliau berkata, bagi tempoh Januari 2018 sehingga 30 Januari 2019, sebanyak dua kes melibatkan barang kawalan gula dan tepung gandum dihasilkan dengan jumlah sitaan RM31,499 – sinar harian