IPOH: Pemantauan aktiviti bersifat militan dan berbaur keganasan akan dilaksanakan secara teliti tanpa mengganggu privasi dan data peribadi pengguna laman sosial media.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pada masa ini, Kementerian Dalam Negeri giat memantau dan mengambil tindakan terhadap pesanan yang mempunyai elemen keganasan di sosial media.

Bagaimanapun, beliau yang juga Menteri Dalam Negeri menegaskan, orang ramai tidak perlu berasa bimbang mengenai pemantauan itu kerana ia tidak akan menceroboh maklumat peribadi mereka.

“Jangan khuatir, kita tidak akan mengusik data peribadi atau lain-lain maklumat peribadi tetapi kita akan menggunakan kaedah tertentu untuk melakukan pemantauan terhadap aktiviti rakyat Malaysia atau ‘foreign fighter’ yang terlibat di dalam mempromosi Daesh, Jemaah Islamiyah (JI), ataupun mana-mana organisasi militan, ekstremis yang ada di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Dunia edisi keempat pada petang Isnin.

Ahmad Zahid berkata, Malaysia dikenali sebagai negara yang berpengalaman dalam mengendalikan radikalisasi dan pengganas serta komunis selama ini.

Beliau berkata, tindakan tersebut telah mencapai kejayaan dari segi ideologi dan psikologi setinggi 97.5 peratus.

zahid-wcit 8Katanya, pendekatan itu dilaksanakan apabila pihak pertahanan negara menghadapi militan terutama mereka yang terdiri daripada pelbagai kumpulan pengganas yang sebelum ini ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan kini di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Mereka ditempatkan di satu tempat khas dan kami telah melakukan pengubahsuaian di Kem Tahanan Kamunting sebagai pusat pemulihan atau pusat de-radikalisasi untuk mereka yang ditahan atas faktor keganasan,” ujarnya lagi.

Jelasnya, resolusi yang dipersetujui oleh persidangan WCIT itu akan membentuk sebuah jalinan kerjasama di antara Unit Keganasan Bukit Aman, King Salman International Centre of Peace dan Pusat Keamanan Sejagat dan Anti Keganasan ASEAN.

Katanya, ketiga-tiga institusi itu akan meletakkan Malaysia di peta dunia dalam sumbangan terhadap pengalaman negara ini menangani dan mendepani masalah keganasan, militan dan ekstremisme.

“Sebab itu saya ingin katakan, apa yang sedang dilakukan oleh Kementerian Dalam Negeri terutamanya melalui langkah-langkah pencegahan, pengawalan dan juga pembanterasan terhadap aktiviti Daesh atau IS, atau nama-nama yang sama dengannya adalah untuk melihat bahawa komitmen Malaysia ini diterjemahkan bukan hanya sekadar resolusi di persidangan,” katanya lagi.