TANJUNG MALIM: Sebanyak 65 peratus daripada 267 pengundi awal terdiri daripada pegawai dan anggota polis keluar menunaikan tanggungjawab pada pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim setakat 12 tengah hari ini, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Proses pengundian awal berlangsung di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim di Slim River dekat sini bermula 8 pagi tadi hingga 5.30 petang ini.

Sepanjang proses undi awal, pematuhan garis panduan pencegahan COVID-19 dikuatkuasakan seperti penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka, penggunaan pensanitasi tangan dan saringan suhu badan.

Turut kelihatan meninjau proses undi awal itu ialah Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh, Timbalannya Dr Azmi Sharom, Ketua Polis Perak Datuk Razarudin Husain serta calon Barisan Nasional (BN) Mohd Zaidi Aziz dan calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.

Ketua Polis Daerah Muallim Supt Sulizmie Affendy Sulaiman berkata proses undi awal berjalan lancar dan terkawal kerana pengundi telah dinasihatkan supaya mengikut masa yang ditetapkan bagi mengelak kesesakan di pusat mengundi.

“SOP (prosedur operasi standard) kita perlu patuhi, kita tidak mahu semua pegawai dan anggota (polis) datang serentak sebab tak nak berlaku kesesakan,” katanya ketika ditemui pemberita.

PRK DUN Slim pada Sabtu ini, menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Zaidi dan Amir Khusyairi serta seorang lagi calon Bebas, S. Santharasekaran.

– BERNAMA