TANJUNG MALIM: Kumpulan Bersatu Blackout yang mengumumkan akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim didapati telah memulakan gerakan menarik pengundi di sini baru-baru.

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Mohd. Zaidi Aziz berkata, kumpulan itu yang diketuai Datuk Seri Mukhriz Mahathir telah mengadakan konvoi menaiki kenderaan bersama-sama para menyokongnya di sini dua hari lepas.

Bagaimanapun, dakwanya, kumpulan itu tidak mendapat sambutan daripada pengundi kerana Bersatu Bahagian Tanjung Malim dikatakan penyokong kem Tan Sri Muhyiddin Yassin

“Kita tidak nampak mereka ada pergerakan yang luar biasa, cuma mereka ada datang dua hari lepas tapi dimaklumkan tiada sambutan.

“Dalam kumpulan itu, kita kenal dua tiga orang daripada mereka tetapi saya percaya mereka tak mampu hendak menggerakkan jentera kempen kerana pilihan raya bukan perkara mudah,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran konvoi Program Ziarah Kasih Skuad Sayang untuk PRK Slim di Sungkai dekat sini hari ini.

Program dilancarkan Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad.

Mohd. Zaidi berkata, pihaknya tidak mahu merasa selesa dengan andaian kononnya UMNO tidak menghadapi masalah untuk mengekalkan kerusi DUN Slim.

“Kita kena bersedia, tidak boleh ambil mudah walaupun ada sokongan Pas dalam Muafakat Nasional. Malah kita telah mulakan gerak kerja awal iaitu dua hari selepas Datuk Mohd. Khusairi meninggal dunia bagi membentuk jentera parti untuk kempen PRK Slim,” ujarnya.

DUN Slim kosong ekoran kematian penyandangnya, Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib yang meninggal dunia pada 15 Julai lalu Hospital Bentong, Pahang akibat serangan jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi PRK Slim pada 29 Ogos depan, penamaan calon 15 Ogos dan pengundian awal 25 Ogos.