SLIM RIVER: Parti Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF) selaku rakan Barisan Nasional (BN) dan MIC sudah mula menggerakkan jentera pilihan raya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak lama lagi.a

Kedua-dua parti yang mewakili masyarakat India itu menjadikan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim sebagai gelanggang untuk menguji kekuatan jentera, sekali gus menilai sejauh mana keberkesanan program yang dijalankan selepas BN tewas pada PRU-14.

Presiden IPF, Datuk T Loganathan, berkata tindakan pengundi khususnya dalam kalangan masyarakat India yang menyokong kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah satu kesilapan yang tidak akan diulangi sama ada dalam PRK DUN Slim mahupun PRU-15.

Katanya, pengundi India mulai sedar kesilapan lalu menyebabkan mereka kembali menyokong BN bagi memastikan kebajikan dan kemajuan kaum India terbela.

“Setakat ini, sokongan yang ditunjukkan oleh kaum India terhadap BN sungguh positif berdasarkan dapatan gerak kerja yang dilakukan oleh jentera pilihan raya di seluruh negara.

“Selepas setahun kekalahan BN dalam PRU-14 , IPF telah pun menggerakkan jentera di seluruh cawangan dan bahagian serta berharap pengundi India jangan sesekali ulangi kesilapan yang dilakukan pada PRU yang lalu,” katanya ketika ditemui di Bilik Gerakan IPF, Slim River.

Sementara itu, Pengerusi Perhubungan MIC Perak, Datuk V Elango berkata momentum sokongan terhadap BN, khususnya pengundi kaum India di seluruh negara menunjukkan perkembangan yang positif.

Katanya, selepas PRU yang lalu, MIC lebih menumpukan gerak kerja mendekati pengundi melalui kaedah dari rumah ke rumah kerana pendekatan secara akar umbi didapati lebih berkesan.

“Kita tidak menjalankan program yang besar kerana kadangkala tidak memberi impak yang kita harapkan, jadi lebih baik kita dekati pengundi secara empat mata.

“Bagi menangani isu nasional yang dibangkitkan oleh pihak pembangkang pula, kita juga mengambil langkah bertemu secara empat mata dengan masyarakat India,” katanya.

Beliau berharap pengundi India mengambil kesempatan dalam PRK DUN Slim untuk membuktikan sokongan terhadap BN dan memberi isyarat yang cukup jelas bahawa masyarakat India kini bersama kerajaan Perikatan Nasional. – BH