JENTERA Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sentiasa bergerak seiring bersama-sama jentera Barisan Nasional dalam membantu perjalanan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim yang kini memasuki hari ketujuh.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata perjalanan kempen PRK Slim berjalan lancar tanpa sebarang masalah dengan kerjasama di antara Umno, Pas dan Bersatu.
”┬áKalau di Perak saya melihat tiada masalah langsung (perjalanan kempen dan jentera parti) dan kita amat selesa dengan kempimpinan UMNO dan Pas.
“Kami bergerak seiring walaupun saya akui di Slim, UMNO lebih bergerak kerana calon mereka yang bertanding.
“Tetapi sebenarnya di sebalik tabir dan juga di kalangan untuk mendapatkan sokongan di kalangan penyokong Bersatu, kami bergerak seiring dengan jentera BN,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Bersatu Perak berkata demikian sebagai mengulas perkembangan gerak kerja jentera parti negeri di PRK Slim bagi membantu kemenangan calon BN yang bertanding.
PRK Slim menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN dan dua calon Bebas.
BN mempertaruhkan anak tempatan Slim, Mohd Zaidi Aziz, 43, yang juga pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim bagi mempertahan kerusi berkenaan.
Seorang lagi calon adalah peguam, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, yang bertanding atas tiket Bebas mewakili kem bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Seorang lagi calon Bebas, Santhara Sekaran Subramanian, 42, merupakan seorang bekas guru.–