TANJUNG MALIM: MCA akan membantu menyelesaikan masalah berkaitan masyarakat Cina di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim sebagai antara usaha memastikan kemenangan besar calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim 29 Ogos ini, kata Presidennya Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Katanya sepanjang tempoh kempen PRK itu, MCA bekerja sebagai satu pasukan dengan matlamat memenangkan BN.

“Saya rasa kita (BN) mempunyai asas yang kukuh dan secara tradisinya kita telah menguasai kawasan ini selama bertahun-tahun, justeru kami (MCA) harus bekerja lebih kuat bagi memastikan rakan kami dalam BN boleh menang dengan majoriti lebih besar,” katanya kepada pemberita semasa melawat sekitar Kampung Baru Slim River di sini hari ini. 

Kira-kira 10 peratus daripada 23,094 pengundi di DUN itu adalah kaum Cina.

Wee yang juga Menteri Pengangkutan berkata MCA telah mendekati hampir 90 peratus pengundi Cina di DUN Slim setakat ini.

PRK Slim menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, Mohd Zaidi Aziz, 43, dan dua calon Bebas iaitu S. Santhasekaran, 44, serta Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38.

— BERNAMA