SLIM RIVER: Hubungan kerjasama PAS dan UMNO terus diterjemahkan dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

Yang Dipertua PAS Bahagian Tanjung Malim, Mohd Tarmizi Ab Rahman, berkata hubungan kerjasama dalam Muafakat Nasional peringkat pusat diteruskan di Parlimen Tanjung Malim khususnya di DUN Slim.

Katanya, sepanjang kempen PRK DUN Slim, jentera PAS sentiasa bersama calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz untuk membantu kempen.

“Di mana calon BN berada, di situlah wakil PAS akan turut serta dan sehingga hari ini , rakyat di sini menyambut baik dan memberi sokongan kepada penyatuan parti Melayu antara PAS-UMNO.

“Kerjasama ini, saya akan pastikan sampai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15 ) dan dalam PRK ini kami jadikan sebagai medan latihan serta akan memperbaiki gerak kerja pilihan raya selepas PRK ini supaya hubungan PAS-UMNO lebih relevan,” katanya.

Mohd Tarmizi berkata jentera PAS-UMNO juga seiring menjalankan program ziarah dari rumah ke rumah untuk meraih undi bagi memastikan calon BN menang besar.

Katanya, sokongan yang diberikan oleh rakyat di DUN Slim terus membakar semangat jentera PAS untuk bergerak dan berkempen berhabisan untuk calon BN yang amat dikenali oleh penduduk setempat.