TANJUNG MALIM: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga kini telah meluluskan 16 daripada 17 permohonan permit ceramah bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, satu permohonan yang tidak diluluskan itu disebabkan faktor lokasi yang tidak sesuai dengan aktiviti berkempen.

Jelas beliau, daripada jumlah permohonan, 14 diterima daripada Barisan Nasional (BN), sementara tiga lagi dikemukakan oleh calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.

“Pihak-pihak yang berkempen dinasihatkan mengikut prosedur dan undang-undang yang telah ditetapkan terutamanya dari segi permit tempat dan masa yang ditetapkan.

“Selain itu, pihak polis menasihatkan kepada pihak-pihak yang berkempen agar tidak menimbulkan sebarang provokasi yang boleh menganggu gugat ketenteraman awam sepanjang tempoh berkempen N58 DUN Slim berjalan.
“Setakat ini pihak polis tidak menerima sebarang aduan berkaitan salah laku dan insiden yang tidak diingini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, PRK DUN Slim menyaksikan saingan tiga penjuru antara BN dan dua calon Bebas.

BN diwakili Mohd Zaidi Aziz, sementara calon bebas, Amir Khusyairi menggunakan logo ‘pokok’ dan S. Santharasekaran yang menggunakan logo ‘buku’. – MalaysiaGazette