SLIM RIVER: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengakui berlaku salah faham apabila seorang pengundi yang memakai seluar pendek dilarang memasuki pusat mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, di sini, hari ini.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh, berkata mengikut peraturan pilihan raya, hanya individu yang memakai pakaian parti bertanding saja dilarang, selain pemakaian mencolok mata.

“Mungkin ada sikit salah faham, kalau ikutkan tiada masalah. Boleh (pakai seluar pendek), cuma ada yang tak boleh berpakaian parti, mencolok mata. Seluar pendek masih dibenarkan.

“Kita harap pengundi ini boleh datang semula mengundi‚Ķ janganlah merajuk,” katanya pada sidang media selepas meninjau pusat daerah mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Aminudin Baki di sini, hari ini.

Pagi tadi, sedikit kecoh di SK Aminudin Baki selepas polis tidak membenarkan seorang pengundi masuk ke pusat mengundi atas alasan memakai seluar pendek, namun individu berkenaan akhirnya datang semula mengundi selepas dipujuk ejen parti.

Beliau berkata, setakat tinjauannya hari ini, tidak ada aktiviti merayu undi dilakukan parti dan penyokong calon yang bertanding.

Katanya, tindakan itu adalah salah di bawah peraturan pilihan raya memandangkan tempoh berkempen PRK sudah pun tamat jam 12 malam tadi.

“Masa untuk berkempen sudah berlalu. Tidak sepatutnya ada (kempen merayu undi). Di peringkat SPR kita memang tidak galakkan. Memang tak boleh. Cuma, kadang-kadang dia (parti) buka khemah untuk tujuan memberi kemudahan kepada petugas terbabit. Ini tiada masalah.

“Saya tengok di sini keadaan aman. Tidak ada peraih pun. Kalau yang sebelum ini, kita nak masuk (pusat mengundi) pun susah. Kali ini tiada.

“Dua tiga lokasi yang saya kunjungi, tidak nampak ini, mungkin mereka rasa ini tidak ada keperluan (adakan aktiviti merayu undi),” katanya.

Beliau juga menyifatkan langkah itu satu yang positif dan menunjukkan kesedaran penyokong calon yang bertanding.-BH