KUALA KANGSAR: “TIDAK berlaku sebarang kesalahan, justeru tiada siasatan dilakukan,” kata Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain.

Beliau memberi reaksi itu berhubung laporan polis mengenai penyalahgunaan medium kerajaan dalam kempen Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Slim.

Razarudin berkata, hanya satu daripada empat laporan polis berkaitan PRK DUN Slim yang diterima pihaknya setakat ini disiasat membabitkan perbuatan khianat dengan merosakkan poster parti lawan.

Katanya, tiada keperluan siasatan dilakukan bagi laporan polis yang dibuat sedangkan tidak berlaku apa-apa kesalahan atau No Offence Disclosed (NOD).

“Jangan silap buat andaian. Memang ada bahan (bendera) dengan bungkusan tertera sumbangan sebuah jabatan kerajaan diedarkan bersama alat kempen calon BN.

“Namun, sebenarnya wakil mana-mana parti pun boleh edarkan bahan (bendera) bersama logo jabatan itu lalu mengedarkannya bersama bahan kempen mereka.

“Jabatan kerajaan terbabit memang ada edarkan bahan (bendera) yang sesiapa pun boleh ambil, lalu terpulang kepada calon mana-mana parti pun untuk mengedarkannya bersama bahan kempen mereka.

“Kalau saya nak buat macam tu pun boleh kalau saya nak,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah (KPD) Kuala Kangsar di Dewan Tun Salleh Ismael, Kompleks Perumahan Polis Kuala Kangsar, hari ini.

Dalam majlis itu, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob, 56, menggalas jawatan KPD Kuala Kangsar berkuat kuasa hari ini bagi menggantikan Asisten Komisioner Razali Ibrahim yang bersara wajib bermula 30 Ogos selain serah terima tugas Pengerusi Persatuan Kebajikan Isteri-isteri Polis (Perkep) daerah.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Goh Boon Keng dan Pengerusi Perkep Perak, Datin Zainah Othman.

Terdahulu, media melaporkan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin menafikan sumbangan Jalur Gemilang oleh Jabatan Penerangan Malaysia kepada orang ramai di kawasan Slim River berunsur politik berpihak, sebaliknya sekadar untuk menghayati sambutan kemerdekaan yang bakal tiba.

Ia selepas bungkusan bendera berkenaan tertera tulisan ‘Sumbangan: Jabatan Penerangan Malaysia’ diedarkan calon BN dalam PRK terbabit, Mohd Zaidi Aziz bersama dengan bahan kempen partinya itu.

Zahidi menegaskan sudah menjadi amalan biasa dalam mana-mana PRK sebelum ini apabila program dilaksanakan oleh mana-mana kementerian untuk anggota dan kerajaan hadir bersama.

Dalam perkembangan berkaitan, Razarudin memberi jaminan keselamatan dan lalu lintas kepada pengundi di hari pengundian 29 Ogos ini selain menegaskan tiada sebarang provokasi dilakukan oleh mana-mana parti setakat ini.

“Jangan bimbang keluar mengundi. Cuma pastikan jaga SOP (prosedur operasi standard membendung Covid-19 yang ditetapkan kerana polis dan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) akan berkawal di sana (pada hari pengundian).

“Buat masa ini keadaan di sana sangat aman. Tiada sebarang provokasi daripada mana-mana parti dan saya nak ingatkan calon, wakil, serta penyokong mereka supaya teruskan keadaan yang sangat sempurna ini. Rondaan juga dijalankan dari masa ke semasa,” katanya.