KUALA LUMPUR : Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah ternyata kecewa dengan pemilihan calon Barisan Nasional (BN) PRK Parlimen Tanjung Piai.

Ahli akademik itu berpendapat sampai bila UMNO mahu menjadi pengemis kepada Cina ultra kiasu.

“Kecewa yang teramat sangat apabila mendapat berita bahawa UMNO telah memilih MCA untuk bertanding dalam PRK Parlimen Tanjung Piai, mungkin kerana telah diugut MCA, akan keluar BN sehingga membawa kepada terbubarnya BN.

“Hina sangat UMNO jika termakan dengan ugutan ini.

“Jika benarlah dengan keluarnya MCA akan terbubar BN, semua ahli Parlimen BN akan menjadi tidak berparti atau ahli bebas, redha dan hadapilah dengan penuh tabah. Jika tidak, sampai PRU 15 nanti, pasti politik ‘bodoh’ akan berulang dan menjadi budaya. Budaya yang membodohkan kita sebagai orang Islam,” ujarnya dalam satu kenyataan malam tadi.

Beliau merujuk kepada pemilihan wakil MCA, Datuk Seri Wee Jeck Seng sebagai calon BN dalam PRK Parlimen Tanjung Piai.

Mohd. Ridhuan berpendapat, pemilihan itu akan merugikan parti orang Melayu seperti UMNO dan Pas.

“Saya bukan rasis. Saya tetap Cina sampai bila-bila. Semua Cina itu saudara saya. Lebih-lebih lagi ahli keluarga saya.

“Namun, saya masih boleh mengenali mana Cina baik, mana yang ultra kiasu,” katanya.

Menurutnya, Cina yang baik seperti mendiang Profesor Khoo Kay Kim, Prof. Teo Kok Siong dan lain-lain lagi manakala Cina ultra kiasu adalah Cina yang berada dalam MCA, Gerakan dan DAP.

“Jika mereka tidak ultra kiasu sudah tentu mereka akan bersama menjunjung perkara yang telah dipersetujui dalam kontrak sosial yang telah menghasil perlembagaan negara.

“Contoh-contoh yang telah biasa kita dengar seperti kedudukan Islam, bahasa Melayu, hak istimewa Melayu dan Bumiputera, Raja-Raja Melayu dan sebagainya.

“Ini tidak, terus dipertikaikan tanpa kesudahan. Kaduk naik junjung,” kata bekas ahli MCA itu lagi.

Menurut Ridhuan, BN sepatutnya mencari calon MCA yang muslin dan tidak ultra kiasu.

“UMNO telah melakukan kesilapan besar dengan meletakkan calon yang telah kalah sebelum ini. Bukan tidak boleh, tetapi politik hari ini masih tidak membenarkan.

“Saya akui, bukan semua ahli MCA itu ultra kiasu, begitu juga parti perkauman yang lain. Banyak lagi baik. Malangnya, yang baik itu tidak memimpin.

“Rata-rata yang memimpin adala ultra kiasu. Mereka ini yang menjadi duri dalam daging, gunting dalam lipatan. Tidak mahu patuh kepada perkara-perkara yang telah dipersetujui dalam sosial kontrak,” ujarnya.