KUALA LUMPUR: Berdasarkan situasi semasa di Sabah, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan disarankan (PKPD) segera dilaksanakan, khususnya di lokasi yang mencatatkan peningkatan atau jumlah jangkitan COVID-19 yang tinggi.

Pakar Kesihatan Awam, Jabatan Mikrobiologi dan Parasitologi Perubatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Malina Osman berpendapat, jika keadaan benar-benar memaksa, tindakan penangguhan pilihan raya negeri itu perlu diambil.

“Dalam konteks situasi sekarang, lebih praktikal adalah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat di lokasi terlibat.

“Penting juga untuk pihak berkuasa menyediakan satu prosedur operasi standard (SOP) yang jelas bagi orang ramai yang akan keluar mengundi nanti.

“Jika keadaan benar-benar memerlukan, perlu ada saranan untuk pilihan raya ditangguhkan,” katanya ketika muncul dalam program Buletin AWANI, pada Khamis.

Kata Dr Malina, untuk menutup semua aktiviti perniagaan dan pusat pendidikan di seluruh negeri, ia sedikit sukar kerana ia perlu diseimbangkan dengan konteks kesihatan awam dan keperluan meneruskan kehidupan.

“Jika PKPD dilaksanakan, semua aktiviti perniagaan, sekolah dan pusat pengajian juga perlu ditutup. Tetapi pendapat saya, ia lebih sesuai dilakukan di tempat di mana terdapatnya kluster,” ujarnya.

Beliau juga mengingatkan COVID-19 sehingga kini belum menunjukkan tanda-tanda akan reda, dengan beberapa negara mencatatkan peningkatan kes malah negara seperti Perancis dan United Kingdom kini berhadapan gelombang kedua.

“Kita sekarang berhadapan dengan situasi kritikal kerana mengikut polar sejak 10 hari lalu, kes aktif menunjukkan peningkatan, berbanding semasa tempoh perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) sepanjang Jun lalu.

“Kita sedia maklum, apabila pilihan raya, banyak aktiviti berjalan membabitkan ramai orang.”COVID-19 pula diketahui tersebar dengan mudah dan cepat, justeru langkah pencegahan dan kepatuhan SOP perlu diambil serius.

“Saya juga menyarankan pelaksanaan penguatkuasaan undang-undang lebih tegas kerana situasi sekarang serius dan perlu diberi perhatian semua pihak,” katanya.