KOTA KINABALU: Teka teki siapa bakal dipilih menjadi Ketua Menteri Sabah yang baharu masih belum terjawab.

Seawal jam 7 pagi, pengamal media sudah mula berkumpul di depan pintu masuk Istana Negeri bagi membawakan perkembangan terkini perlantikan itu.

Namun, sehingga kini tiada sebarang pergerakan masuk pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk bertemu Yang di- Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin untuk mengangkat sumpah.

Dalam masa sama, difahamkan beberapa mesyuarat berasingan dalam kalangan pemimpin Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) sedang berlangsung di lokasi berbeza sekitar bandar ini sejak pagi tadi.

Ia dikatakan mempunyai kaitan perlantikan Ketua Menteri yang masih ‘tergantung’ sehingga kini sama ada dari PN atau BN.

PN sebelum ini mengumumkan Hajiji yang menang kerusi Sulaman sebagai calon Ketua Menteri, namun BN mengambil pendekatan untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) terlebih dulu sebelum menamakan calon Ketua Menteri walaupun Datuk Seri Bung Moktar Radin yang menang kerusi Lamag dikatakan antara calon yang akan diangkat ke jawatan itu.

Malam tadi, Pengerusi PN Sabah, Datuk Hajiji Noor memaklumkan angkat sumpah Ketua Menteri akan diadakan pagi ini selepas mendapat persetujuan dalam kalangan pemimpin PN.

Namun, BN tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai jawatan itu walaupun menang 14 kerusi.

GRS secara rasmi membentuk kerajaan selepas memenangi PRN dengan 38 kerusi malam tadi menerusi PN yang memperoleh 17 kerusi, BN 14 dan PBS tujuh. – Berita Harian