KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) akan mengumumkan nama-nama calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Rabu ini.

Perkara tersebut disahkan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Difahamkan setakat ini, Barisan Nasional (BN) akan memperoleh sekurang-kurangnya 30 kerusi, menjadikan ia parti pa­ling banyak bertanding kerusi untuk kem penyokong kerajaan.

Ia sesuai dengan saranan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang me­negaskan UMNO sebagai watak utama dalam BN wajar bertan­ding dalam majoriti kerusi untuk PRN kali ini.

Bagaimanapun, segala­nya akan diputuskan dalam me­syuarat yang diadakan malam tadi dan pengumuman hanya akan dibuat Rabu ini.

Sementara itu, Bung Moktar berkata, BN bersedia mengete­ngahkan calon muda dan baharu dalam PRN ini.

Beliau berkata, memang menjadi hasrat BN untuk menampilkan calon yang lebih segar bagi memastikan kemenangan gabungan itu bersama Perikatan Nasional (PN).

“Insya-Allah, memang hasratnya begitu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Strategi meletakkan calon muda turut dilaksana lawan BN dan PN iaitu Parti Warisan Sabah (Warisan) yang bulan lalu me­ngumumkan akan meletakkan 40 peratus calon muda dalam PRN kali ini.

Sementara itu, berkenaan pertembungan sesama sendiri antara calon PN, beliau masih belum dapat memberikan kepastian sama ada ia dapat dielakkan atau tidak.

Ia sekali gus memberi isyarat bahawa PN masih bergelut untuk menemui persefahaman dari segi agihan kerusi yang dilihat pen­ting bagi memastikan kemenangan mereka dalam PRN kali ini.

Penamaan calon bagi PRN Sabah dijadualkan pada 12 September, manakala pengundian awal pada 22 September dan pengundian utama pada 26 September. – Utusan