KUALA LUMPUR: DAP memutuskan untuk menggunakan logo Parti Warisan Sabah (WARISAN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) hujung bulan ini.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata keputusan itu dibuat seiring permintaan oleh Jawatankuasa DAP Sabah.

“Demi menghormati kehendak Jawatankuasa DAP Sabah, ahli dan penyokong kami di Sabah, saya dengan ini mengumumkan bahawa semua calon DAP Sabah akan bertanding dalam PRN di bawah panji WARISAN.

“Pertaruhan politik terlalu tinggi. Kita tidak boleh kalah dalam PRN Sabah. Hanya pakatan yang bersatu dapat memperoleh kemenangan besar bagi kita dan sekutu dalam WARISAN Plus,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yakin semangat dan nilai DAP akan terus menjadi prinsip yang membimbing semua calon ketika parti berganding bahu dengan sekutu di WARISAN Plus untuk memenangi PRN.

“Rakyat Sabah mahukan sebuah kerajaan dari rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat. Hanya kerajaan yang diundi oleh rakyat dapat berkhidmat, membantu dan melindungi rakyat dan hak mereka,” katanya