KUALA LUMPUR: Semua ketua parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Bebas akan menghadap Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin hari ini.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa menerusi satu ciapan di akaun Twitternya.

Menurut beliau, pertemuan itu akan diadakan susulan selepas kesemua 41 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) GRS dan Bebas berjumpa buat kali pertama di sini selepas berjaya menewaskan Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam Pilihan Raya Negeri ke-16 pada Sabtu.

Selain Annuar, pertemuan dengan Juhar juga akan disertai oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO, Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Ketua Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Hajijii Mohd Noor.

Tidak ketinggalan Presiden Parti Solidariti Sabah (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Presiden Parti Bersatu Sabah, Datuk Seri Dr Maximux Ongkili.

Dalam PRN Sabah pada Sabtu, GRS menang majoriti mudah selepas berjaya memperoleh 38 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menewaskan Warisan Plus.