KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (WARISAN) didakwa cuba menyogok anggota keselamatan bagi menutup isu ucapan seorang calon parti itu yang mempersenda pasukan keselamatan, semalam.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata beliau difahamkan ada cubaan dipercayai wakil calon WARISAN untuk menyogok anggota keselamatan sebelum mengundi awal hari ini.

“Kita marah dengan perbuatan calon WARISAN mempersenda pasukan keselamatan dan lebih sakit hati apabila mendapat maklumat mengenai cubaan menyogok mereka.

“Mengapa sampai begini sekali cara mereka nak berkempen. Sebagai Menteri Dalam Negeri, kita akan pertahankan negeri ini sebaik mungkin bersama anggota yang ada.

“Sudahlah bercakap sedemikian rupa, lepas itu nak ‘cover’ pula dan saya difahamkan ada cubaan menyogok anggota keselamatan tapi saya dah minta supaya anggota kita buat laporan mengenai cubaan merasuah itu,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan perjanjian kerjasama di antara Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) di sini, hari ini.

Hamzah berkata, cubaan itu menunjukkan WARISAN semakin terdesak dan sanggup melakukan apa saja untuk menang tanpa menghormati anggota keselamatan yang sudah terkorban.

“Mereka yang terkorban itu saya yakin mati syahid kerana berjihad untuk kepentingan negara tetapi janganlah sebab nak menang dan bila nak ‘cover’ cuba nak sogok pula lagi, bukan sikit duit berpuluh ribu.

“Ini menunjukkan kerajaan WARISAN terdesak dan mereka benar-benar takut untuk kalah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ini. Mereka akan gunakan apa saja cara untuk menang,” katanya.

Terdahulu beliau menyifatkan ucapan calon WARISAN, Datuk Mohamaddin Ketapi yang mempersenda anggota keselamatan menunjukkan beliau seorang yang tidak bertanggungjawab dalam soal mempertahankan negara.

“Sebagai Menteri Dalam Negeri saya sayang agensi di bawah saya maka sudah tentu saya ingin mempertahankan anggota dan pegawai kita yang terkorban di Tanduo pada 2013

“Kalau inilah sikap calon yang datang dari kerajaan WARISAN saya memohon kepada semua rakyat di Sabah untuk mengetahui dengan lebih jelas bahawa calon mereka langsung tidak memikirkan tanggungjawab mempertahankan negeri ini,” katanya.

Mohamaddin yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama dikecam kerana mengeluarkan ucapan berbaur penghinaan dengan mengatakan anggota keselamatan berperang dengan ayam dan anjing ketika pertempuran di Tanduo, Lahad Datu pada 2013.