IPOH, 12 JAN – Produk Eurofresh Sdn. Bhd, sebuah anak syarikat kerajaan negeri Perak, dijamin halal kerana tiada penglibatan orang tengah dan menyediakan bekalan daging segar tempatan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP), Eurofresh menyambut baik saranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) agar tiada mana-mana pihak mengulas lanjut isu berkenaan selagi siasatan penuh belum dimuktamadkan.
 

Bagaimanapun, katanya, menjadi kewajipan kepada syarikat itu untuk memastikan produk daging/makanan laut beku yang diimport mempunyai status halal JAKIM dan mendapat kelulusan permit import daripada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), sebelum dibenarkan masuk serta dipasarkan ke negara ini.


 

“Untuk makluman umum terutama masyarakat Islam di Malaysia amnya, Eurofresh ingin menegaskan bahawa daging/makanan laut sejuk beku yang diimport terus oleh pihak kami dari Australia/New Zealand/India/Brazil/Jepun dan Seafoods (makanan sejuk beku) dari Chile/Alaska/Korea/China tidak melibatkan orang tengah atau pengantara.
 

“Eurofresh juga tidak akan sesekali berkompromi atau menjalinkan hubungan perniagaan dengan mana-mana pihak yang pada penelitian/anggapan kami tidak mematuhi garis panduan seperti yang telah ditetapkan oleh kedua-dua agensi berwajib itu kerana isu halal merupakan satu perkara besar serta melibatkan hukum syarak dalam agama Islam,” kata kenyataan itu hari ini.
 

Di samping itu, kata kenyataan itu lagi, Eurofresh juga akan sentiasa mematuhi piawaian ditetapkan bagi menjaga kredibiliti dan nama baik PPPNP yang merupakan GLC Negeri Perak selain selaku pemegang saham terbesar syarikat kami melalui Ladang Lekir Sdn Bhd (LLSB).

 
Menurutnya, untuk perancangan jangka masa panjang, Eurofresh Sdn Bhd dengan kerjasama daripada rakan-rakan perniagaan dalam Kumpulan PPPNP juga akan menyediakan pusat pengambilan dan pemprosesan daging lembu dan kambing segar daripada penternak-penternak tempatan untuk jualan terus kepada pengguna atau peniaga.

Katanya, terdapat 30 usahawan yang menjalinkan kerjasama dengan PPPNP dalam projek penternakan melibatkan ternakan lembu dan kambing di seluruh Perak.

“Selain itu, PPPNP turut menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak berkaitan pemeriksaan kesihatan, khidmat nasihat dan pengeluaran permit yang membabitkan haiwan ternakan seperti lembu secara khusus,” ujarnya.

Menurutnya, Eurofresh juga bakal menjalinkan kerjasama dengan usahawan dan penternak terbabit daripada sudut pembelian daging segar bagi membantu selain memastikan pendapatan mereka dapat ditingkatkan ke tahap yang lebih baik.
 

“Langkah ini juga sekaligus dapat mengembangkan perniagaan syarikat kami dalam membekalkan produk daging segar kepada para pengguna.

“Selain itu, dengan pendekatan ini juga, ia secara tidak langsung akan mengurangkan kebergantungan kepada pengimportan makanan serta pengaliran matawang ke luar negara,” tambahnya.
 

Merujuk kepada kenyataan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bertarikh 23 Disember 2020 (Berita Harian) berkenaan ‘penyeludupan daging sejuk beku yang tidak sah status halal dan diimport ke Malaysia oleh kartel daging haram’.