IPOH: Mencontohi keberkesanan program-program yang dilaksanakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Ahli Dewan Negara, Datuk Hamzah Mohd Kasim mengadakan Program Berkampung untuk membantu menyelesaikan masalah rakyat di sekitar Parlimen Gopeng.

Setakat ini, program itu telah diadakan di enam buah kampung iaitu di Sungai Terap, Pengkalan Baru, Seri Rahmat, Rapat Jaya Tambahan, RPT Pengkalan Seberang dan yang terbaru Kampung Changkat Larang.

Menurut Hamzah, walaupun beliau sendiri mempunyai dua pusat khidmat masyarakat di Taman Gopeng Baru dan Taman Shatin Baru tetapi ia masih belum mencukupi untuk membantu rakyat.

IMG-20170507-WA0004

“Kalau dulu, memang rakyat datang mengadu hal dengan kita, tetapi sekarang kita kena turun padang untuk berjumpa rakyat, bertanya khabar dan membantu menyelesaikan masalah mereka,” katanya kepada Suara Perak ketika ditemui sempena Program Berkampung di Kampung Changkat Larang pada Ahad.

Program bermula dengan solat Subuh berjemaah, sarapan pagi, lawatan ke rumah-rumah rakyat yang kurang bernasib baik, penyampaian bantuan kotak makanan YBU dan wang tunai serta kenduri rakyat.

Hadir sama Penasihat Hal Ehwal Perpaduan Jabatan Perdana Menteri yang juga Ketua Wanita MCA Malaysia, Datuk Heng Saei Kei.

Hamzah memberitahu, banyak program pembangunan yang telah diluluskan oleh kerajaan di Gopeng, termasuk melalui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), antaranya baik pulih 70 buah rumah, pembinaan 10 buah rumah baru dan pemasangan 70 lampu di jalan-jalan kampung.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan dan kementerian yang meluluskan projek pembangunan untuk rakyat, Hamzah berkata, program berkampung akan diteruskan di masa-masa akan datang.

“Kita bercadang untuk menganjurkan kira-kira 20 program berkampung menjelang pilihan raya akan datang dan diteruskan jika diberi mandat untuk melaksanakannya,” tambah beliau.

Sempena majlis kenduri rakyat, Hamzah turut melancarkan tabung pembinaan masjid baru Kampung Changkat Larang dengan sumbangan permulaan RM10,000.

Sementara itu, Heng Saei Kei berkata, sejak dua penggal lalu rakyat Gopeng kerugian dari segi peruntukan pembangunan yang mereka nikmati sebelum itu.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan rakyat Gopeng memberi semula peluang dan kepercayaan kepada Barisan Nasional untuk membantu mereka di masa-masa akan datang.

Ketua Wanita MCA itu yang juga ibu angkat kepada Parlimen Gopeng disebut-sebut sebagai calon parlimen kawasan itu.