IPOH – Jabatan Pembangunan Wanita Negeri Perak akan menganjurkan program Kembara FELDA bertemakan Wanita Sejahtera Keluarga Bahagia pada 24 dan 25 Mac ini.
Program itu akan diadakan di Lapangan Dewan Semai Bakti, Felda Sungai Behrang, Slim River bermula jam 8 pagi sehingga 6 petang.
Para pengunjung khususnya lepasan Sijil pelajaran Malaysia dan graduan dijemput untuk memeriahkan program ini dan mengambil peluang untuk mendaftar dengan Pusat Kerjaya Amanjaya (PEKA) untuk peluang pekerjaan.
Selain PEKA, para pengunjung juga boleh melawat pameran daripada institusi kemahiran untuk lanjutan pengajian tinggi iaitu Mont Royale College-Technical & Vocational, Education and Trainng (Perak), Perak Human Capital Development Centre (PHDC) dan Kolej Teknologi Midas.
Program Kembara FELDA akan dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Rusnah Kassim, pada 25 Mac.
Antara pengisian sepanjang dua hari program itu berlangsung ialah program sukarelawan, keluarga angkat, ceramah keagamaan, klinik guaman, Hari Bertemu Pelanggan bersama Suruhanjaya Syarikat Malaysia, SME Corp dan Amanah Ikhtiar Malaysia.
Untuk maklumat lanjut, hubungi Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Perak di 05-2531320 atau Pejabat Felda Sungai Behrang di 05-4541270.