KUALA LUMPUR – Program Subsidi Petrol (PSP) yang dijadual dilaksanakan pada Januari ini ditangguhkan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna,  Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan menangguhkan program itu sehingga satu masa yang akan ditentukan kelak.

“Mesyuarat Kabinet pada 18 Disember 2019 telah memutuskan bahawa pelaksanaan PSP yang dijadualkan bermula Januari 2020 tidak diteruskan sehingga satu masa yang akan diumumkan kemudian,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Tambah Saifuddin, keputusan saat akhir itu dicapai dalam kabinet demi memberi ruang untuk membolehkan penerangan dan penjelasan diteruskan dengan tujuan memberi kefahaman dan mempersiapkan rakyat menerima program PSP ini.

“Proses pendaftaran penerima daripada kelompok M40 yang akan dikendalikan oleh Kementerian Kewangan.

“Sementara menunggu pengesahan pelaksanaan PSP diumumkan rakyat akan terus menikmati harga petrol berdasarkan sistem sedia ada,” tambah beliau.

Pada 7 Oktober lalu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PSP akan bermula Januari 2020, sesuai dengan manifesto Pakatan Harapan.

Bagi tujuan itu, kerajaan telah memperuntukkan RM2.4 billion dalam Belanjawan 2020 bagi dimanfaatkan 8 juta orang daripada kelompok B40 dan M40.