IPOH: Projek Agropolitan Ganda di Gerik dilaksanakan sebagai salah satu program pembasmian kemiskinan luar bandar dalam kalangan Ketua Isi Rumah Miskin Tegar (KIRMT) dan Ketua Isi Rumah Miskin (KRIM).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian, Perladangan, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan negeri, Datuk Saarani Mohamad berkata, bagi memastikan projek itu direalisasikan, kerajaan negeri telah bekerjasama dengan KKLW dengan mengenalpasti tapak yang sesuai untuk tujuan itu.

“YB Kenering menggesa supaya kerajaan negeri dapat memberi perhatian serius terhadap projek Agropolitan Ganda supaya ianya dapat dijayakan untuk menempatkan 400 keluarga peserta mengikut jadual,” katanya semasa ucapan penggulungan di Sidang DUN pada Selasa.

Menurut Saarani, laporan kemajuan Projek Agropolitan sentiasa dikemaskini melalui mesyuarat Jawatankuasa Teknikal yang dipengerusi oleh Pegawai Daerah Hulu Perak.

“Projek ini sekaligus dapat mempercepatkan pembangunan di kawasan mundur, terpencil dan terbiar.

“Setakat ini kita mengenalpasti tapak bersesuaian bagi komponen projek yang meliputi kawasan seluas 1,011.37 hektar untuk ladang sejahtera.

“Manakala 160.00 hektar bagi pembangunan ladang komersil dan kawasan seluas 18.96 hektar bagi penempatan peserta,” ujarnya.