IPOH: Projek menaik taraf di Padang Ipoh sama sekali tidak melibatkan perubahan kepada struktur asal dan tidak akan menjejaskan nilai warisan padang berusia 130 tahun itu.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata kerajaan negeri sentiasa sensitif mengenai kepentingan memelihara nilai warisan Padang Ipoh yang terletak dalam Zon Warisan Ipoh.

Katanya, projek yang dibiayai oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) itu turut merangkumi kerja membaikpulih Ipoh Riverfront yang telah lama terbiar.

“Kerajaan negeri mengambil maklum tentang keresahan penduduk di sekitar Bandaraya Ipoh mengenai projek yang sedang berjalan.

“Projek Cahaya dan Bunyi (Light and Sound) ini adalah inisiatif kerajaan negeri bagi meningkatkan tarikan pelancongan ke bandar ini.

“Saya ingin menegaskan di sini bahawa kerja-kerja menaiktaraf ini tidak melibatkan penebangan pokok-pokok termasuk perubahan struktur asal Padang Ipoh,”katanya.

Nolee berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di tapak projek naik taraf Padang Ipoh di sini pada Jumaat.

Turut hadir, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Katanya, kerja naik taraf itu melibatkan pembinaan layar utama untuk persembahan cahaya dan bunyi, pembinaan bilik kawalan, menaiktaraf tandas awam serta menambahbaik landskap sedia ada.

Kos bagi menaiktaraf Padang Ipoh dan Kinta Riverfront bagi fasa ini berjumlah RM 11 juta.

Dalam pada itu, kerja menaiktaraf di Kinta Riverfront pula membabitkan penambahbaikan bangunan kedai sedia ada.

“Ia merangkumi penambaikan dua unit jambatan besi sedia ada, kerja menaiktaraf tandas awam dan laluan pejalan kaki, landskap serta pencahayaan.

“Kedua-dua projek ini dijangka siap menjelang Januari 2021,”katanya.

Beliau menambah usaha ini sebahagian inisiatif kerajaan negeri untuk menyemarakkan semula sektor pelancongan di negeri ini yang turut terjejas akibat penularan Covid-19.

Justeru katanya, semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dialu-alukan berkongsi aspirasi kerajaan negeri untuk merangsang ekonomi domestik melalui sektor pelancongan.

“Ramai yang bergantung hidup kepada aktiviti pelancongan kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan.

“Usaha ini dapat membela nasib mereka yang bergantung penuh kepada aktiviti perniagaan di sekitar Padang ipoh khususnya dan bandar Ipoh amnya,”katanya.

Sebelum ini, warga Bandaraya Ipoh, termasuk beberapa NGO mendesak supaya projek pembinaan di Padang Ipoh yang masih menjadi tanda tanya dihentikan serta merta.

Mereka juga tidak mengalu-alukan projek itu kerana dikatakan boleh menjejaskan padang tersebut yang telah diisytiharkan sebagai salah satu ikon Jejak Warisan di Perak.

Jurucakap mereka, Mazlan Ali berkata, keindahan Padang Ipoh perlu dikekalkan kerana ia terkenal di seluruh dunia sebagai gelanggang pelbagai jenis sukan, khususnya kriket dan ragbi.