IPOH – Projek Pembinaan Mini Hidro di Kampung Ulu Geruntum, Gopeng yang sejak sekian lama mendapat tentangan masyarakat Orang Asli setempat digantung berkuatkuasa hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Masyarakat Sivil, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri A. Sivanesan berkata pengantungan projek tersebut dibuat setelah mendapat persetujuan bersama di antara tujuh pihak terlibat dalam projek berkenaan termasuk masyarakat Orang Asli dan pemaju.

“Dalam tempoh penggantungan ini juga, pihak Pejabat Daerah Kampar, Jabatan Alam Sekitar dan beberapa jabatan lain akan menjalankan kajian terperinci mengenai projek ini untuk mengetahui masalah sebenar.

“Saya percaya ketika ini semua pihak telah berpuas hati dengan peluang yang diberi kerajaan negeri untuk mendengar masalah mereka dan mengambil tindakan ini (penggantungan),” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bersama tujuh pihak terbabit di sini pada Khamis.

Tujuh pihak yang telah hadir dalam mesyuarat berkenaan ialah wakil penduduk perkampungan Orang Asli, Jabatan Alam Sekitar, Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka), Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), syarikat eko-pelancongan, Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Hydro Renewable Energy Corporation Sdn Bhd.

Sivanesan berkata, kajian itu dijangka akan diperolehi dalam jangka masa satu bulan daripada sekarang.

“Kita akan cuba selesaikan perkara ini secara adil kerana kita perlu akui projek ini juga bakal memberi manfaat kepada ramai orang dan dalam masa ia juga telah menimbulkan masalah kepada penduduk setempat.

“Daripada laporan yang bakal kita diperolehi daripada jabatan terbabit nanti baru satu mesyuarat khas akan diadakan bagi mengetahui tindakan seterusnya,” ujar beliau.

Mengenai masalah yang dihadapi projek bernilai RM20 juta itu, Sivanesan berkata sejak ia dimulakan pada awal tahun ini, ia telah mendapat tentangan hebat daripada beberapa perkampung Orang Asli berdekatan.

Beliau berkata, selain masyarakat Orang Asli mendakwa punca pendapatan mereka terjejas, beberapa pihak yang menjalankan perniagaan berasaskan eko-pelancongan turut sama menolak projek itu atas sebab sama.

“Setakat ini melalui perbincangan yang telah dibuat, pemaju telah pun bersetuju untuk untuk membayar ganti rugi terhadap beberapa individu kerana kerugian dari segi kemusnahan pokok-pokok rambutan, petai, durian dan sebagainya termasuk juga kubur-kubur.

“Keduanya pokok-pokok yang telah ditumbangkan selama ini juga seperti buah atau kayu balak turut akan ditanam semula, tapi pampasan itu belum dibincangkan, ia akan dibincangkan dalam masa terdekat, ia akan bersifat adil kepada kedua-dua pihak,” jelas beliau.

Tujuh kampung yang menentang projek itu sebelum ini ialah Kampung Ulu Kampar dan Kampung Orang Asli Perkampungan Ulu Geruntum di Gopeng; Kampung Sat, Kampung Kejau, Kampung Res, Kampung Gamus dan Kampung Tidong di Sungkai.