TANJUNG MALIM: Proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim di Dewan Sri Tanjung Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM) pagi ini berlangsung dalam keadaan tenang dengan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Pemeriksaan ketat dilakukan pihak berkuasa dengan mewajibkan mereka yang dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon menjalani pemeriksaan suhu, memakai pelitup muka dan mematuhi penjarakan fizikal.

Sebagai langkah berwaspada terhadap wabak koronavirus (Covid-19), tiga khemah bagi pemeriksaan suhu, saringan dan ujian swab Kementerian Kesihatan dibuka sekitar dewan utama, persediaan sekiranya terdapat individu bergejala.

Sepertimana peringatan yang telah diberikan, tiada perarakan penyokong yang membawa bendera atau laungan sorakan mengiringi calon masuk ke pusat penamaan calon sejak ia dibuka jam 8 pagi tadi.

Malah kelibat pemimpin parti bertanding juga tidak kelihatan di pekarangan MDTM menandakan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada PRK kali ini dipatuhi.

Proses penamaan bermula pada jam 9 pagi ini dengan bakal calon diberi tempoh satu jam sehingga jam 10 pagi untuk mengemukakan borang pencalonan dan selepas itu Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Shamsul Ridzuan Idris akan mengumumkan nama calon yang layak bertanding.

Mengguna pakai SOP sama PRK DUN Chini baru-baru ini, hanya calon, pencadang dan penyokong dibenarkan masuk ke dalam dewan utama bagi mengemukakan kertas penamaan calon.

Suasana dalam dewan utama juga diperketat apabila kehadiran pihak media diminimumkan selain kedudukan kerusi bagi calon, pencadang dan penyokong dijarakkan satu meter antara satu sama lain.

PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, akibat serangan jantung pada 15 Julai lepas.

Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada tahun 2018 menyaksikan Mohd Khusairi yang mewakili Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi DUN Slim dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bertanding atas tiket PKR diwakili Mohd Amran Ibrahim dan calon Pas, Muhammad Zulfadli Zainal.

BN pada PRK kali ini mempertaruhkan anak jati Slim, Mohd Zaidi Aziz, 43, sebagai calon dan dijangka berdepan calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, mewakili parti baharu pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

SPR menetapkan pengundian awal bagi PRK DUN Slim pada 25 Ogos manakala hari mengundi pada 29 Ogos membabitkan 23,094 pengundi iaitu 22,815 pengundi biasa, 277 pengundi awal dan dua pengundi tidak hadir luar negara.