PUTRAJAYA: Orang ramai boleh menyaksikan prosiding siasatan kes kematian remaja Ireland, Nora Anne Quoririn yang akan disiarkan secara langsung di Portal Rasmi Badan Kehakiman Malaysia bermula Isnin ini.

Menerusi kenyataan dikeluarkan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia Istana Kehakiman, prosiding yang bermula jam 9 pagi itu turut disiarkan di sosial media rasmi YouTube dan Facebook Badan Kehakiman Malaysia: The Malaysian Judiciary.

“Prosiding siasatan kes kematian Nora Anne Quoirin di Mahkamah Koroner, Kompleks Mahkamah Seremban akan dijalankan bermula 24 Ogos ini.

“Kesemua 64 orang saksi akan dipanggil untuk memberi keterangan dan membantu siasatan bermula 24 hingga 28 Ogos dan bersambung pada 1 hingga 4 September ini.

“Sehubungan dengan itu, Badan Kehakiman akan mengadakan penstriman langsung mengenai prosiding berkenaan dan orang ramai boleh menyaksikannya bermula pada 24 Ogos jam 9 pagi,” menurut kenyataan hari ini.

Nora Anne yang mengalami masalah pembelajaran tiba bersama keluarganya di Malaysia pada 3 Ogos tahun lalu untuk percutian dua minggu di sebuah resort di Pantai, Seremban.

Remaja berkenaan disedari hilang dari bilik penginapannya oleh keluarganya pada jam 8 pagi hari berikutnya.

Selepas 10 hari misi pencarian, mayat remaja itu ditemui di kawasan berlurah dekat anak sungai kira-kira 2.5 kilometer dari resort dia dilaporkan hilang.

Hasil bedah siasat mengesahkan Nora Anne mati akibat kebocoran usus yang berpunca daripada tidak makan untuk tempoh panjang.

Selain itu, Nora Anne hanya mempunyai kesan calar kecil pada kaki ketika ditemui dan dipercayai mati akibat stres berpanjangan.