IPOH: Parti Amanah Negara (Amanah) mengakui bahawa Pilihan Raya Umum (PRU-15) akan lebih mencabar untuk Pakatan Harapan (PH) walaupun Perikatan Nasional (PN) dilihat sedang menghadapi masalah.

Walaupun ketika kini UMNO, Pas dan Bersatu kelihatan bermasalah tetapi mereka bersatu ketika menghadapi pilihanraya.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad berkata, usaha perlu ditingkatkan untuk memperbaiki kelemahan bagi menentukan kemenangan bagi PH ++ ataupun Warisan ++ di Sabah.

“Budaya menuding jari menyalahkan pihak ini dan sebagainya perlu kita tamatkan dan kita tunaikan tanggungjawab kita bersama sebagai pembangkang dan kita bekerjasama untuk kita menggembelingkan segala kekuatan, menjatuhkan Perikatan Nasional,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Konvensyen Tahunan kali ke-5 Parti Amanah Negara Negeri Perak di sini, hari ini.

Beliau memberi contoh di Pilihan Raya Kecil Slim dan Pilihan Raya Negeri Sabah baru-baru ini, ada pihak di kalangan pembangkang seolah-olah gembira selepas calon daripada parti rakan mereka tewas.

Dalam pada itu, Khalid berkata, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan kehilangan kawalan di dalam kerajaan jika tunduk dengan tuntutan UMNO.

Menurutnya, walaupun masih menjadi Perdana Menteri, tidak mustahil lama kelamaan beliau akan kehilangan kuasa.

Katanya, jika tuntutan mereka dipenuhi, UMNO akan terus membuat tuntutan dari semasa ke semasa .

“Kalau Muyiddin mengalah dengan tuntutan UMNO, ‘this is the begining of the end’.

“Bulan ini dia minta ni, enam bulan kemudian dia akan minta yang lain dan sebagainya pasal dia dah hilang kawalan,” dakwanya.

Pada Jumaat, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahmah berkata, UMNO wajar diberi jawatan Timbalan Perdana Menteri di samping beberapa jawatan menteri yang strategik kerana mempunyai bilangan kerusi parlimen yang lebih banyak.

Khalid berkata, Amanah amat kecewa dan sedih dengan keadaan politik negara sekarang sehingga politik dipandang sesuatu yang kotor, untuk kepentingan diri serta membebankan rakyat.