NIBONG TEBAL – Seramai 40 orang pelajar Politeknik Seberang Perai (PSP) yang terdiri daripada Briged Rela Siswa Siswi (Relasis) berkampung selama tiga hari di Kampung Sungai Udang di sini dalam program khidmat komuniti yang diadakan baru-baru ini.

Program dengan kerjasama Jawatankuasa Surau Sungai Udang itu memberi peluang kepada peserta untuk menikmati suasana kampung selain dapat berkongsi kemahiran dan pengetahuan mereka bersama masyarakat setempat.

Pengarah Politeknik Seberang Perai, Mejar (K) Zulkifli Ariffin berkata, program khidmat komuniti ini juga merupakan satu program yang berimpak tinggi kepada masyarakat luar bandar berbentuk khidmat sosial TVET dengan kerja-kerja pemindahan teknologi dan perkongsian ilmu, pembangunan kerohanian dan kelestarian alam.

Menurutnya, selain 40 anggota Relasis, seramai 72 pelajar dan staf PSP terlibat sama dalam mengelolakan beberapa aktiviti yang menyumbangkan kemahiran TVET kepada komuniti dalam membangunkan kehidupan masyarakat serta memastikan siswa Politeknik terlibat secara aktif dalam program sukarelawan.

“Program ini bukan sahaja dapat menerapkan tanggungjawab dan nilai sosial golongan pelajar IPT terhadap masyarakat serta negara malah memberi peluang kepada sukarelawan untuk membantu masyarakat di kawasan luar bandar dengan menyalurkan sumbangan khidmat bakti kepada masyarakat dalam bidang kemahiran yang mereka peroleh di Politeknik Seberang Perai.

“Selain itu program ini juga dapat mewujudkan dan menanam nilai kepimpinan di kalangan generasi muda terutama dalam membantu kerajaan untuk mengukuh dan membangunkan jalinan integrasi yang erat di kalangan masyarakat luar bandar,”katanya ketika ditemui di sini semalam.

Peluang merasai kehidupan di kampung

Sementara itu, Pengerusi Surau Sungai Udang, Abu Bakar Md Noor berkata, sepanjang program ini diadakan para peserta dibahagikan kepada 17 keluarga angkat bagi memberi peluang kepada menikmati dan merasai kehidupan mereka sebagai orang kampung.

Katanya, program ini juga memberi kesempatan serta kefahaman kepada pelajar untuk menyelami kepentingan menuntut ilmu dan menyumbang kembali ilmu yang telah dituntut kepada masyarakat sebagai suatu tanggungjawab yang perlu dipikul bersama melalui aktiviti dan program-program yang bermanfaat.

Menurut  beliau lagi, di antara aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan ialah “English Fun” untuk murid-murid sekolah menengah dan rendah, Kursus Asas Pemasaran untuk usahawan-usahawan kecil, mengecat pagar surau, gotong-royong kenduri rakyat, sukan rakyat dan Forum Perdana bertajuk ‘Harga Remaja’.

Sementara itu, Adun Sungai Acheh, Zulkifli  Ibrahim semasa menutup program itu berkata, program khidmat komuniti adalah satu program khidmat sosial yang mampu menjadi satu aktiviti untuk menjana kecemerlangan masyarakat berilmu dan berkemahiran pada hari ini.

Malah, katanya program ini juga menjadi satu pendedahan berguna untuk menghayati tanggungjawab dan nilai sosial golongan pelajar terhadap masyarakat dan negara.

Selain itu, Zulkifli berkata, beliau akan berusaha untuk menjadikan Kampung Sungai Udang sebagai kampung contoh produk pelancongan memandangkan kedudukannya amat strategik di pinggir laut serta mempunyai kelestarian alam yang cukup menarik di samping banyak produk makanan yang dihasilkan di sini – sinar