IPOH: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melancarkan Kempen Minggu Menabung SSPN 2018 bermula 5 hingga 7 Oktober 2018 sempena Hari Menabung Sedunia yang disambut pada bulan Oktober setiap tahun.

Kempen yang menggunakan tema #mulasekarang itu turut berlangsung serentak di semua PTPTN seluruh negara pada 6 Oktober.

Peringkat Negeri Perak pula diadakan di Angsana Mall Ipoh.

Minggu Menabung SSPN 2018 bertujuan meningkatkan kesedaran ibu bapa mengenai kepentingan menabung serta perancangan kewangan demi masa depan bagi tujuan pendidikan tinggi.

Program di Angsana Mall Ipoh telah berlangsung dengan meriah dengan pelbagai aktiviti serta hadiah menarik, seperti pertandingan mewarna bagi kategori 4 – 6 tahun, kategori 7 – 12 tahun, ‘fun puzzle’, tabung unik, ‘3 Kupang Challenge’, permainan untuk keluarga seperti permainan Bijak Wang dan banyak lagi.

“PTPTN sentiasa positif dalam usaha membudayakan sikap suka menyimpan atau amalan menabung di kalangan rakyat Malaysia, khususnya ibu bapa dan salah satu keistimewaan SSPN iaitu pelepasan taksiran cukai sehingga RM6,000 setahun.

“Bukan itu sahaja, pendeposit diberi perlindungan sehingga RM1 juta, bergantung kepada pakej yang dipilih dalam SSPN-i plus,” kata PTPTN dalam satu kenyataan.

Sejak dilancarkan pada tahun 2004 hingga 31 Ogos 2018, sebanyak 3.6 juta akuan SSPN telah dibuka dengan jumlah deposit RM3.8 bilion.

Bagi tahun 2018, PTPTN mensasarkan kutipan deposit sebanyak RM600 juta dengan penambahan pembukaan akaun baharu sebanyak 350,000.

Bagaimanapun, sehingga 31 Ogos 2018, pembukaan akaun SSPN telah mencapai 434,000 akaun.

“Ini menunjukkan bahawa terdapat kesedaran untuk membuat penabungan bagi tujuan pendidikan tinggi di kalangan masyarakat,” ujarnya.

Bagi tahun 2018, kerajaan menyediakan pemberian Insentif Khas Geran Sepadan bagi simpanan terkumpul sehingga RM500 dalam akaun SSPN-i/ SSPN-i Plus kepada pelajar berumur 7 hingga 12 tahun atau sedang belajar di sekolah rendah pada tahun 2018.

Ini bermakna, bermula 1 Januari lalu, mana-mana ibu bapa atau penjaga yang membuat simpanan untuk anak-anak mereka yang berumur 7 – 12 tahun, akan menerima tambahan keistimewaan Insentif Khas Geran Sepadan iaitu deposit percuma bernilai RM500.

Sebanyak RM250 juta telah disediakan untuk diberikan secara percuma kepada 500 ribu pelajar yang layak.

“Insentif ini akan dimasukkan ke dalam akaun pada hujung bulan yang sama apabila jumlah simpanan mencecah RM500.

“Ini memberikan pulangan 100 peratus kepada pendeposit dalam masa sebulan selepas jumlah simpanan mencukupi RM500,” tambahnya.

PTPTN berharap agar skim simpanan pendidikan SSPN-i/ SSPN-i Plus di bawah Tabung Pendidikan utama negara (PTPTN) ini dimiliki oleh setiap isi rumah kerana ia menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat yang baik dan menyeluruh untuk warganegara Malaysia.

“Penabungan dan perancangan kewangan merupakan dimensi penting dalam pendidikan tinggi negara bagi mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman pendidikan semata-mata,” katanya.

Oleh itu, PTPTN berharap agar ibu bapa dan penjaga memulakan penabungan SSPN-i/ SSPN-i Plus secara berterusan untuk masa depan anak-anak dan fikirkanlah ‘dividen’ masa depan mereka dari aspek pendidikan.