MARANG: Kepimpinan tertinggi PAS hari ini sebulat suara menawarkan penubuhan kerajaan perpaduan yang dianggotai ketiga-tiga parti Pakatan Harapan, Barisan Nasional dan PAS sebagai jalan penyelesaian bagi melerai keadaan tergantung yang melanda politik Perak pada ketika ini.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan media hari ini menyatakan bahawa keputusan itu dibuat melalui Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada Jumaat.

Katanya,PAS juga telah mengambil kira mengenai perkembangan politik semasa di Perak untuk tujuan mesyuarat tersebut.

“PAS, menawarkan penubuhan Kerajaan Perpaduan (Kerajaan Tanpa Pembangkang) yang dianggotai oleh semua parti (PAS,PH dan BN) dengan syarat kerajaan ini dipimpin oleh seorang Islam yang dipersetujui oleh majoriti ADUN Islam.

“Manakala, Exco kerajaan negeri mestilah majoritinya dari kalangan ADUN beragama Islam,”katanya dalam kenyataan media di sini,hari ini.

Status kerajaan negeri di Perak dalam keadaan tergantung selepas keputusan PRU-14 menyaksikan PH mendapat 29 kerusi DUN, manakala BN sebanyak 27 kerusi dan PAS pula tiga kerusi.

Semalam, Tun Dr Mahathir Mohamad yang merupakan Pengerusi Pakatan Harapan telah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-7 apabila menerajui PH untuk mendapat 100 kerusi (PKR) dan lapan (DAP).