IPOH: Persatuan Pengendali Umrah, Haji dan Ziarah Perak (PUHAZ) melahirkan kebimbangan pelaksanaan Haji Furada akan memberi pelbagai kesan negatif.

Pengerusinya, Mohamad Ali Sabri berkata, pihaknya menentang pelaksanaannya kerana krisis pendemik COVID-19 masih menjadi isu di Arab Saudi.

Sehubungan itu, katanya PUHAZ menyokong penuh keputusan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri baru-baru ini berhubung penangguhan penghantaran jemaah haji Malaysia tahun ini.

“Mengikut rekod, jangkitan COVID-19 di Arab Saudi mencecah melebihi 100,000 kes antara penyebab kerajaan Malaysia membuat penangguhan jemaah haji ke Mekah,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Untuk makluman Haji Furada adalah pakej haji yang menggunakan visa furada yang dikeluarkan terus oleh kedutaan Arab Saudi wakil agensi pelancongan terpilih, tanpa menggunakan kuota dari Tabung Haji

Menurutnya, jika Haji Furada diteruskan oleh wakil agensi pelancongan, ia menujukkan sikap pentingkan diri sendiri tanpa memikirkan keselamatan jemaah haji.

“Adalah menjadi kebimbangan sekiranya Haji Furada dilakukan melalui wakil travel agen secara terus kerana ia boleh mengancam keselamatan jemaah haji Malaysia,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan 30 ahli persatuan di seluruh Perak supaya tidak terlibat dengan perkara itu kerana dibimbangi akan menjejaskan nama baik persatuan.

“Kita bukan sahaja bimbang soal keselamatan dan kesihatan jemaah, kita juga bimbang kemungkinan jemaah akan mengalami kerugian sekiranya pakej itu dibatalkan.

“Sebelum musim COVID-19 pun kita telah dengar bermacam-macam cerita mengenai Haji Furada seperti pakej ditangguh, jemaah terkandas dan sebagainya, apatah lagi sekarang ni,” katanya.