IPOH – Calon-calon yang terpilih mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) diminta memujuk kumpulan kecewa yang tidak terpilih.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penting untuk calon-calon menyelesaikan masalah terbabit secepat mungkin bagi memastikan kekecewaan mereka yang tidak terpilih tidak memberi kesan kepada prestasi BN pada pilihan raya.

“Saya ingin meningatkan diri saya dan semua orang yang terpilih menjadi calon tentukan bahawa kalau ada permasalahan dikalangan kumpulan kecewa ini langkah-langkah segera mesti dilakukan dalam tempoh berbaki ini sebelum penamaan calon.

“Kita mesti memenangi hati dan minda mereka, mereka yang berada dalam kumpulan kecewa ini mesti dibawa bersama-sama mengharungi PRU-14,” katanya ketika berucap dalam majlis pengumuman calon BN Perak di sini pada Selasa.

Ahmad Zahid turut menambah, adalah mustahil untuk pucuk pimpinan BN memuaskan hati semua pihak dalam isu pencalonan setiap kali menjelang pilihan raya.

“Kemustahilan ini sudah tentu mengundang kekecewaan daripada mereka yang tidak dicalonkan, apabila ada yang kecewa sudah tentu mengudang permasalahan.

“Kemenangan dan kekalahan kita adalah bergantung kepada penyelesaian masalah dalaman parti, jadi kita perlu selesaikan masalah ini secepat mungkin, yang terpilih jangan terlalu seronok kerana di luar sana ramai yang kecewa,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengesa calon-calon yang dipilih untuk memastikan kepercayaan yang diberikan oleh pucuk pimpinan BN khususnya Pengerusi Datuk Seri Najib Razak dibalas dengan usaha bersungguh-sungguh bagi memenangi kerusi diwakili.

 BERITA BERKENAAN : Kesetiaan Resepi Pencalonan Semula Dr Wan Norashkin