BAGAN DATUK: Ibubapa disaran menggunakan pendekatan diplomasi seperti memujuk untuk memenangi hati anak-anak mereka tinggal di bandar-bandar besar yang terpengaruh dengan dakyah anti Barisan Nasional (BN).

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ibu bapa digalakkan menggunakan kaedah komunikasi yang baik dalam mentarbiyah anak-anak mereka yang mempunyai pandangan berbeza dalam politik.

Menurutnya ibu bapa harus sedar bahawa anak-anak mereka yang mencari rezeki khususnya di kawasan bandar begitu mudah terpedaya dengan politik kebencian terhadap pemimpin BN di media-media social.

“Jadi pastikan jangan lawan, tetap pujuk. Kita menangi hati dan minda mereka supaya kali ini sokongan calon-calon Barisan Nasional,”katanya lagi.

Katanya, ramai kalangan anak-anak mereka terjerat dengan agenda pembangkang yang mahu jatuhkan kerajaan sedia ada.

“Saya harap bukan kita sahaja yang datang ke sini (mengundi),tetapi anak-anak kita juga yang merupakan pengundi berdaftar. Jangan kerana mereka hantar duit makan minum, kita ikut cakap mereka melulu.

“Mungkin kita menyokong BN, tetapi bukan anak kita. Tapi janganlah kita juga terikut-ikut pangkah parti lain. Itu yang menjadi masalah semasa PRU-12 dan PRU-13 pada 2008 dan 2013 yang lepas,”katanya lagi.

Justeru, Ahmad Zahid berkata ibubapa harus bersifat terbuka dan mengelakkan berkasar dengan pendapat anak-anak mengenai pilihan politik sebaliknya membimbing mereka secara baik.

BERITA BERKENAAN : Senarai Calon BN Bertanding Akan Diumumkan Pengerusi Negeri Masing-Masing – Zahid