IPOH- Pesakit yang masih menyimpan produk losartan iaitu ubat darah tinggi yang ditarik balik sebelum ini dinasihatkan untuk menghentikan pengambilan ubat tersebut dan memulangkannya kepada pembekal.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye bagaimanapun berkata mereka yang telah mengambil produk untuk merawat tekanan darah tinggi itu, tidak perlu panik dan segera memulangkannya untuk mendapatkan bekalan ubat yang baru.

“Bahan yang terdapat dalam ubat losartan itu tidak ada kesan dalam jangka pendek, sekiranya pesakit yang masih ada ubat tersebut perlu pulangkan tetapi tidak perlu panik.

“Berhenti makan ubat itu dan serahkan kepada pembekal, kebetulan kita (Kementerian) telah tarik balik ubat itu sebelum ini dan sepatutnya mengikut rekod tidak ada lagi, kecuali mereka yang menyimpannya sebagai stok,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia Peringkat negeri Perak di sini pada Sabtu.

Boon Chye turut mengulas lanjut mengenai Pihak Berkuasa Kawalan dadah (PBKD) yang menggantung pendaftaran tujuh produk ubat-ubatan yang dikesan mengandungi bahan aktif losartan bermula 7 Mac 2019.

Ujarnya lagi, hanya beberapa jenama ubat losartan yang ditarik balik kerana tercemar dengan bahan yang tidak diingini.

Tindakan itu diambil setelah Pihak Berkuasa Sains Kesihatan Singapura (HSA) mengeluarkan notis panggil balik ke atas tiga produk yang mengandungi losartan daripada sumber bahan aktif dikeluarkan syarikat Hetero Lab Limited, India kerana kehadiran impuriti N-nitroso- N-methyl-4-aminobutyric acid (NMBA).

Impuriti ini berkemungkinan boleh menyebabkan kanser kepada penguna dalam jangka masa panjang.