JAKARTA: Indonesia berkemungkinan besar akan menutup sementara pulau yang menjadi habitat biawak komodo bagi menangani pelbagai masalah susulan pelancongan besar-besaran termasuk cubaan menyeludup biawak terbesar dunia itu.

Cadangan penutupan itu masih menanti kelulusan kabinet dan akan bermula tahun depan tetapi tidak membabitkan pulau berhampiran yang turut dihuni haiwan pemangsa itu.

Ribuan pelancong mengunjungi pulau di timur Indonesia itu setiap tahun bagi iaitu satu-satunya lokasi di dunia yang membolehkan biawak komodo dilihat secara semula jadi.

Pulau Komodo ialah kediaman kepada hampir 2,300 biawak itu yang boleh membesar kira-kira tiga meter dengan berat antara 70 hingga 90 kilogram.

“Pelancongan besar-besaran sudah berlaku di Pulau Komodo dan ia sangat mengganggu.

“Apabila terlalu ramai pelawat bertumpu di Taman Negara Komodo, ia akan menjejaskan kehidupan haiwan terbabit,” kata ketua agensi pelancongan tempatan, Marius Ardu Jelamu.

Menurut Jelamu, Jakarta pada dasarnya bersetuju untuk menutup secara sementara taman negara berkenaan.

Sepanjang tempoh penutupan, kerja-kerja pemuliharaan akan dilaksanakan untuk memulihara tanaman serta menambah bilangan haiwan seperti rusa, babi hutan dan beberapa jenis lain yang menjadi makanan biawak berkenaan. – AFP