Oleh: Nazialita Geynna Maharan

LUMUT: Pengisytiharan Pulau Pangkor sebagai Pulau Bebas Cukai merupakan mercu tanda pertumbuhan ekonomi yang menepati sasaran untuk memacu sektor logistik negara.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pihak kerajaan negeri amat menghargai pengumuman bersejarah yang disifatkan sebagai bukti suara pemimpin negeri didengari oleh kerajaan persekutuan.

“Saya telah mengemukakan kepada Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johani Ghani mengenai keperluan Pulau Pangkor menjadi sebuah pulau bebas cukai.
“Pulau bebas cukai (ini) dalam konteks sendiri, tidak dalam konteks penjualan atau berkaitan barang-barang tidak baik seperti rokok dan arak, juga bukan dalam kenderaan tetapi mungkin dalam bidang lain,” katanya ketika ditemui pemberita di Jeti Pulau Marina di sini, hari ini.

Dr Zambry berkata, rakyat tidak perlu melihat kepada pengecualian barangan yang tidak tersenarai seperti arak, rokok dan kenderaan bermotor semata-mata sebaliknya menumpukan kepada kelebihan yang sedia ada di pulau berkenaan.

Beliau yang juga ADUN Pangkor berkata, terdapat pelbagai bidang lain yang boleh ditumpukan seperti aksesori, pakaian, coklat dan pinggan mangkuk serta bukan memfokuskan kepada beberapa barangan terhad sahaja.

Menurutnya, berita gembira disampaikan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2018 merupakan satu berita yang sangat besar kepada rakyat negeri Perak amnya serta penduduk di kawasan daerah Manjung khasnya.

“Ia bukan semata-mata untuk orang pulau tetapi ia menjadi satu lagi mercu tanda yang membolehkan pertumbuhan lebih pesat di dalam negeri Perak.

“Saya berbangga dan paling penting, saya bukan hanya penduduk Pangkor tetapi saya sebagai Menteri Besar Perak, ini bukan hasrat kepada penduduk Pangkor semata-mata tetapi juga untuk negeri Perak,” kataya lagi.

Dr Zambry menegaskan, pengisyitharan itu juga membuktikan manifesto untuk menjadikan Pangkor sebagai Pulau Bebas Cukai oleh Barisan Nasional ditunaikan.

Katanya, kini Perdana Menteri telah mengotakan janji dan merealisasikan apa yang dihasratkan selama ini.

Ditanya mengenai senarai barangan dan persiapan, Dr Zambry berkata, perkara itu akan dirujuk kepada Kementerian Kewangan setelah dasar tersebut diumumkan.

“Ia akan diperincikan dan berlanjutan mulai sekarang dan proses perbincangan akan diadakan, beberapa mesyuarat dan perjumpaan bersama Kementerian Kewangan akan dilaksanakan,” katanya lagi.