IPOH– Hasil siasatan berhubung punca kebakaran pusat hiburan yang meragut enam nyawa di Ipoh pada Februari lalu, akan dikeluarkan tidak lama lagi.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, siasatan yang dilakukan oleh pihak forensik telah menemui bukti dan petunjuk tertentu berhubung kejadian tersebut.

“Mereka ini mati bukan kerana terbakar tetapi mereka sudah meninggal dulu kerana kelemasan dan juga disebabkan oleh keracunan asap yang disedut daripada hasil pembakaran.

“Siasatan ini adalah gabungan daripada pasukan Forensik HQ dan juga negeri dan saya percaya hasilnya tidak lama lagi akan dikeluarkan, indicator (petunjuk) sudah ada, bukti sudah ada.

“Mereka zoom in untuk pastikan bahawa punca yang betul-betul ini diperoleh kerana ia libatkan tuntutan dan pembayaran insurans,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak di Ipoh pada Rabu.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya memandang serius insiden itu dan akan memastikan tindakan undang-undang dilaksanakan bagi memastikan bangunan itu selamat.

Antaranya, bangunan yang diklasifikasikan sebagai berisiko tinggi perlu memperbaharui Sijil Perakuan Bomba (FC) setiap tahun.

Terdahulu, dalam majlis itu beliau menyampaikan anugerah APC kepada 100 orang pegawai bomba, termasuk lima orang penerima bagi Sijil Perkhidmatan 30 Tahun.