LANGKAWI: Panorama Langkawi Sdn Bhd (Panorama Langkawi), pengendali sistem kereta kabel Langkawi SkyCab di sini, akan menjalankan siasatan terperinci bagi mencari punca kegagalan sistem sehingga lebih 1,000 pelancong terkandas, semalam.

Ahli Lembaga Pengarah Panorama Langkawi, Datuk Azizan Noordin, berkata walaupun kegagalan sistem gelangsar sudah dikenal pasti sebagai punca tergendala, siasatan terperinci membabitkan bahagian kabel akan dilaksanakan bagi memastikan kejadian tidak berulang.

“Kami akan menjalankan pemeriksaan (untuk mengetahui punca kegagalan sistem),” katanya selepas melawat pelancong terkandas, awal pagi ini.

Berdasarkan kiraan terakhir, sebanyak 1,048 pelancong dan 78 kakitangan syarikat kereta kabel terkandas kira-kira tujuh jam sebelum berjaya diselamatkan secara berperingkat antara jam 9 malam hingga 12 tengah malam tadi.

Insiden yang dilaporkan bermula pada jam 5.48 petang sehingga menjejaskan sistem kereta kabel itu dikatakan terburuk pernah berlaku sejak ia mula diperkenalkan sebagai produk pelancongan Langkawi pada tahun 2002.

Azizan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) berkata, pasukan teknikal Panorama Langkawi mula menggerakkan sistem secara manual kira-kira jam 9 malam untuk membolehkan 88 pelancong yang terkandas dalam 16 gondola diturunkan ke stesen pangkalan.

Beliau berkata, penggerak manual yang hanya dibenarkan untuk pergerakan minimum kereta kabel itu mampu menurunkan beberapa pelancong hingga ke stesen pertengahan sambil memberi alternatif kepada pihaknya mendapatkan alat ganti untuk dipasang bagi memulihkan sistem sepenuhnya.

“Seluruh sistem berjaya dipulihkan kira-kira 11 malam bagi membolehkan kita mula memindahkan semua pelancong dan kakitangan yang terkandas,” katanya.

Beliau berkata, kejadian itu turut menguji keberkesanan pasukan pengurusan krisis di pulau itu yang antara lain membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO).

Katanya, pasukan JBPM bergabung dengan unit teknikal Panorama Langkawi dengan mendaki lebih 600 meter sebelum tiba ke stesen tengah kereta kabel iaitu sebagai alternatif pertama untuk membawa bahagian gantian gelangsar yang gagal.

“Di stesen pangkalan, kami mengedarkan makanan dan minuman serta tuala sejuk kepada pelancong yang berjaya tiba bertujuan memberi kesegaran kepada mereka bagi pengolahan haba kerana berada di dalam gondola dalam masa lama,” katanya.

Beliau berkata, PDRM menerusi Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisoner Che Ghazali Che Awang turut menyediakan dua bas polis bagi membantu membawa mangsa pulang ke penginapan masing-masing.

“Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Nor Saidi Nanyan dan wakil Cina Langkawi, Datuk Chen Lai Ping juga berada di lokasi kejadian bagi menenangkan mangsa dan sebahagian besar pelancong dari China,” katanya.

Katanya, bantuan itu juga membabitkan penginapan tambahan dan mengatur tiket penerbangan untuk pelancong yang terlepas penerbangan pulang disebabkan kejadian itu.

“Alhamdullilah, cuaca baik dengan keadaan angin rendah juga memudahkan operasi memindahkan semua pelancong dan kakitangan,” katanya. – BERNAMA